Jumaat, 4 Oktober 2019

Bab 5 : Lie With Me


Pejam celik, pejam celik... aku memangkah lagi kelendar yang aku buat di sini. Aku menulis dibuku kecilku yang menjadi diari tersimpan di dalam begku.
Sudah tiga bulan masa berlalu. Halaman yang suram sudah semakin ceria. Max rajin masuk ke hutan. Dia menemui beberapa spesis pokok bunga dan orkid lalu di bawa balik dan di tanam di halaman. Aku rasa hatiku juga semakin ceria bila melihat rumah kami semakin selesa di duduki. Max juga sudah pandai bertukang. Dia membina pelantar yang cantik di bahagian halaman depan dan pokok bunga yang diambil di hutan di tanam dalam pasu. Dia juga membina kerusi dan meja dari hasil hutan.


Semenjak tersesat di sini, aku tidak lagi memetingkan kecantikan. Barang mekap dan solekan semua aku simpan ke dalam beg yang kubawa semasa naik bot tempoh hari. Sekeliling rumah juga semakin terang dan tidak bersemak lagi. Aku juga membantunya berkebun di sekeliling rumah. Dia mulanya melarangku dari membantunya tapi aku tetap berdegil dan akhirnya kami sama-sama bergerak bekerja untuk meneruskan kehidupan kami.
Suatu pagi aku membantunya menanam pokok pisang di kebun belakang rumah. Sedang bekerja tiba-tiba perut terasa memulas. Aku berlari balik ke rumah. Selesai menyelesaikan hajat aku kembali menuruni tangga dapur yang tinggi untuk ke kebun belakang.
Tanpa disedari aku terpijak anak tangga yang mereput. Tubuhku tergolek jatuh dari aras yang tinggi juga.
Nafasku rasa sesak. Pandanganku terasa pitam. Gelap.
"Marr... please ..! Tolong bangun ! Tolong jangan tinggalkan aku. Bangun Marr. Aku tak sanggup tinggal sendirian Marr..!"
Sayup-sayup aku terdengar suara raungan. Aku cuba membuka menggerakan tubuhku tapi rasa memberat di dada.

Jumaat, 27 September 2019

Bab 4 : Lie With Me


Hujan lebat hingga lewat malam. Aku masih belum tidur. Dia juga masih menambah kayu ke dalam tempat pendiang api. Mujurlah rumah ini mempunyai tempat pendiang. Seni bina rumah ini juga agak kebaratan. Selain pendiang api mini, terdapat juga kolah mandi di setiap bilik air. Kesemua bilik air telah kami bersihkan. Kami terpaksa bekerja keras untuk membersihkan rumah tersebut. Hanya menggunakan air dan cebisan kain buruk dijadikan berus. Kolah kelihatan bersih walaupun tidak berkilat. Untuk menanggalkan lumut, serbuk pencuci atau lebih lagi clorox diperlukan. Tapi mustahil untuk mendapatkan bahan cuci sedemikian di sini. Kami anggap rumah ini seperti rumah kami sendiri.

"Marr, kau tak sejuk ke ?" Dia bertanya sambil melangkah menghampiriku. Tempat tidur kami berdekatan dan dipisahkan oleh bangku dari boat.
"Sejuk juga. Tapi kita mana ada selimut," balasku dan memeluk kakiku. Waupun api dari pendiang masih menyala tapi kesejukan itu tetap terasa. Hujan di luar masih lagi belum reda.
Hatiku masih berdebar. Terbit juga kerisauan andainya kawasan ini banjir. Namun tiang rumah yang tinggi tidaklah merisaukan aku sangat, kerana tiang konkrit ini agak kukuh.
Lagipun rumah ini terletak di atas tebing yang tinggi.
Aku memandang ke arah api yang meliuk litup di tempat pendiang. Hanya cahaya dari situ yang menerangi ruang ini.
"Max, kau rasa mereka temui tak teman-teman kita yang lain ?" Tanyaku sambil menongkat dagu dengan lutut. Kedua tangan aku silangkan di bawah lutut menahan dari kesejukan.
"Entah. Aku tak pasti tapi mereka semua sudah meninggal. Aku minta maaf sebab terpaksa pentingkan diri sendiri. Kita yang hidup ni perlukan survive."
Dia juga berkeadaan sepertiku. Tetapi dia hanya berseluar pendek dan berbaju lengan panjang. Aku pula berbaju tebal dan berseluar panjang juga.
Aku terangguk mendengar bicaranya. Max hanya kukenali pada hari pertama menaiki bot. Aku diperkenalkan oleh Aqun, Max adalah sepupunya. Dia baru bercuti kerana selama ini dia bekerja di luar negara. Dia juga agak kekok mulanya kerana bahasanya yang agak pekat.
"Marr, kau rasalah... kita sekarang berada di mana? Aneh di sini ada pulau dan juga ada rumah. Tapi rumah ini sudah lama tidak diduduki."
"Aku buta sikit pasal geografi ni. Aku tidak pasti adakah kita masih berada di kawasan sempadan negara kita atau sudah hanyut ke tempat lain. Seminggu kita hanyut dilautan hingga terdampar ke sini. Bagaikan ada sesuatu yang menarik kita ke sini," tambahku pula. Aku terfikirkan hal ini semenjak beberapa hari. Kenapa kami boleh hanyut ke sini. Disediakan rumah dan makanan walaupun rumah yang usang dan makanan tumbuhan sahaja.
Allah ! Tuhan masih menyayangiku.
Kenapakah di saat ini aku seakan alpa. Aku memang lalai.

Jumaat, 20 September 2019

Bab 3 : Lie With Me


Sebuah kolam yang dialirkan air dari anak sungai kecil di belakang, menjadi tempat kami bercanda petang itu. Kami sama-sama berlumuran dengan selut dan lumpur membina kolam tersebut. Dia memberitahuku dia hendak memelihara ikan. Dia akan menangkapnya dari anak sungai tidak jauh dari situ.

"Marr... kenapa comot sangat ni ?" Usiknya sambil menyapu lagi selut ke pipiku. Aku terjerit kecil dengan usikannya. Aku mengambil sekempal selut lalu ku baling ke arahnya. Dia tidak sempat mengelak dan lumpur tersebut mengenai pipinya. Dia menjerit kesakitan. Mulanya aku rasa bersalah tapi dia ketawa sambil menerpa ke arahku dan akhirnya kami sama-sama berguling di dalam kolam buatan tersebut.
"Max, kau pernah terfikir tak akan alami suasana macam ni ? " Tanyaku sambil mengosok membersihkan lumpur dari tubuhku.
"Tak. Sehayat hidupku, aku tak pernah terfikir. Tapi aku tak sangka seronok juga hidup macam ni. Tanpa teknologi canggih, membuat minda kita lebih berfikir untuk meneruskan kesinambungan hidup." Dia merenungku sambil tangannya menyental lumpur di lengannya.
Kami tidak lagi mandi bersabun kerana bekalan syampu dan sabun kecil telah habis.

Jumaat, 13 September 2019

Bab 2: Lie With Me


Pagi itu hujan turun tidak berhenti. Aku hanya berdiri di jendela memerhati ke arah luar. Laut kelihatan agak bergelora. Seperti biasa hanya laut yang terbentang luas menjadi santapan mata.
Hari ini aku menyarung pakaian milikku sendiri. Pagi ini juga kami bersarapan pisang rebus yang diambil semalam. Aku cuba menelan pisang yang penuh biji itu. Dia juga menggigit perlahan pisang tersebut yang hanya di makan bersama segelas air kosong.
Butiran hujan masih lebat seperti tadi. Mujurlah rumah yang kami berteduh ini tidak bocor. Jadi dapatlah kami berlindung dari hujan dan panas dengan selesa.
Dia pula sedang mengelap kasut boot yang basah di timpa hujan. Dia cuba mengeringkan dengan meletakan dekat pendiang yang telah di pasang api. Mujurlah kayu api yang diambil dari dapur masih banyak. Malahan ban di belakang juga dipenuhi oleh kayu api. Walaupun telah lama tidak digunakan, kayu itu masih utuh. Seutuh rumah ini yang masih tetap teguh berdiri walaupun lama tidak diduduki.
Aku berkira-kira hendak memasak ubi yang diambil di belakang rumah. Rupanya semak dibelakang itu tersembunyi banyak bahan makanan. Terdapat pokok pisang dan ubi yang di tanam oleh pemilik asal. Ianya terlindung oleh semak dan pokok menjalar yang tumbuh subur tanpa pengawasan.


"Marr, kalau kita terpaksa tinggal di sini sampai bila-bila, kau sanggup tak ?" Tiba-tiba dia bersuara menghampiriku yang masih berdiri memandang rintik hujan di luar.
Aku mengelak ke tepi memberi ruang untuknya berdiri disampingkan.
"Kalau terpaksa aku redha. Tapi aku berdoa mereka yang mencari kita akan terjumpa nanti. Aku rela tunggu untuk diselamatkan," jawabku lirih. Hatiku kuat mengatakan sehari dua lagi aku akan diselamatkan. Tentu ada penyelamat yang akan menyedari kewujudan kami di sini.
"Aku juga berharap begitu. Tapi seminggu aku mengawasi tempat ini, tiada tanda-tanda pulau ini dikunjungi selain kita. Aku menganggarkan tempat ini sudah puluhan tahun tidak dikunjungi," balasnya pula. Dia tiba-tiba berdiri terlalu rapat denganku dan desahan nafasnya dibelakangku boleh dirasai. Aku perlahan-lahan mengundur. Tidak selesa berkedudukan demikian.
"Aku tidak pasti adakah orang lain selain kita yang selamat dalam bot tersebut. Malam tu ribut kuat sangat. Masa aku tarik kau ke atas serpihan bot kita, aku tak tahupun kau yang aku tolong ," ujarnya lagi. Mengungkit peristiwa seminggu yang kami lalui.
Aku ingat waktu itu aku bersama Nadinee temanku mengikuti pelayaran percutian persendirian. Kami hanya berlima bergerak dalam satu bot diketuai oleh Aqun sebagai kapten. Aku teringat kami sedang bersantai ria di atas bot ditengah lautan apabila ribut tiba-tiba melanda.
Semasa ribut itu aku sempat masuk ke dalam bot. Dia sebenarnya yang menarikku ke dalam bot ketika ribut melanda. Nadinee, Aqun dan Ruqi terjatuh ke dalam laut semasa ombak menghempas ke bot. Mereka terjatuh akibat ditimpa layar yang patah. Waktu itu kami sedang berbual mengelilingi meja kecil di atas dek utama. Layar dibiarkan terbang bebas bergerak sendiri. Langit malam kelihatan tenang semasa kami keluar bersantai. Aku hanya memerhati sahaja ke arah Nandinee yang mula bertindak liar selepas meneguk minuman keras. Aku sendiri waktu itu belum lagi terasa teringin hendak minum walaupun kami sememangnya biasa dengan keadaan itu. Malam itu aku sempat melihat Nadinee dan Ruqi bercumbu disaksikan oleh Aqun. Max pula menghisap rokok di dek yang agak jauh dari kami. Aqun kekasihku sebenarnya pemilik kapal itu. Aku belum bersedia menyertai mereka kerana aku memasak lauk untuk BBQ kami. Max dan Aqun sekali sekala membantuku. Ruqi dan Nadinee menari gembira. Mereka sebenarnya sudah mabuk. Hanya kami bertiga tersengih-sengih memerhati gelagat dua sejoli.
Saat kami masih bersukaria tiba-tiba ribut melanda. Ianya diluar jangkauan. Langit yang cerah tiba-tiba gelap gelita. Angin yang kuat dan guruh berdentum disertai dengan ombak menggila memukul badan bot. Nadinee dan Ruqi pula seakan tidak menyedari dan masih berpelukan menari. Terumbang ambing di atas bot. Aku hendak berlari keluar menarik sahabatku tapi Aqun melarang. Dia sendiri berlari ke tengah ribut dan memujuk pasangan tersebut. Tiba-tiba tiang layar patah. Aku hanya melihat Nadinee, Aqun dan Ruqi terpelanting ke dalam air. Bila aku hendak berlari ke arah mereka Max menahanku. Waktu itu cuaca sangat menakutkan . Ombak laut bagaikan menggila menghempas badan bot. Max menarik aku turun ke bahagian bawah bot. Aku menangis mengenangkan nasib kekasih dan temanku yang lain.
Keesokannya kami mendapati hanya kami berdua sahaja yang selamat. Nadinee lemas terhempas ke laut. Begitu juga teman lelakinya Ruqi dan kekasihku Aqun. Mayat mereka terapung-apung di lautan dan menjauh dari bot.
Kami terdampar di tengah lautan. Dengan enjin bot yang rosak dan kehilangan teman-teman yang lain aku menangis terlolong bagaikan orang gila. Max tidak memujukku tapi dia bergerak dan berusaha menghidupkan enjin bot. Tanpa kemahiran mengendalikan bot, kami membiarkan bot bergerak sendiri di pukul ombak hingga membawa kami terdampar ke pulau terpencil ini.
Berhari-hari aku menangisi kehilangan teman-teman dan menyesali nasib malang kami. Aku hanya terbaring demam di dalam bot. Dia pula setiap hari keluar mencari pertolongan tetapi sia-sia. Tempat kami terdampar ini terpencil dan entah di pelusuk dunia mana tidak diketahui.
Suatu pagi setelah demamku semakin kebah dan dia mengajakku untuk keluar dari bot kami. Pertama kali menjejaki kaki ke pasir pantai yang putih dan bersih ini membuat hatiku terpaut. Dia mengajakku ke rumah yang kami nampk 300 meter dari pantai. Rumah itu kelihatan usang dan dia mengakui telah membersihkannya untuk menjadikan tempat tinggal sementara kami.
Barang-barang di dalam bot kami bawa ke rumah ini. Tilam kecil kami ambil dan bekalan makanan juga kami bawa. Malahan dapur kecil juga diangkut ke dalam rumah tersebut.
Dia juga setiap hari memasang unggun api di pantai bertujuan untuk memberitahu kepada orang lain tentang kewujudan kami.
Namun dua minggu terdampar di sini bermakna sudah tiga minggu aku tidak balik ke rumah.
Aku tahu tiada siapa yang akan meratapi kehilanganku kerana aku dan Nadinee telah tinggal bersama semenjak kami masih di sekolah. Kami hidup berdikari selepas kematian orang tua. Mungkin kenalanku yang lain tidak akan mencariku kerana aku pernah memberitahu mereka aku ingin berpindah mencari sebuah kehidupan yang lebih baik. Kebun sekangkang kera yang menjadi sumber pendapatanku pula menjadi perebutan pakcik dan makcikku. Maka kehilangan aku dan Nadinee tiada siapa yang akan tangisi.
Hanya aku yang meratapi melihat bayangan Nadinee yang semakin menjauh dariku dan akhirnya menghilang begitu sahaja.
Aku demam menangisi peristiwa itu tapi bila aku kebah dan mendengar nasihatnya, aku harus meneruskan kehidupanku.
"Seandainya di sini tempat aku menghabiskan sisa-sisa hidup, aku redha," jawabku lagi. Dia diam. Memerhati rintik-rintik hujan yang semakin lebat. Ombak laut juga kelihatan semakin bergelora. Tetapi tidak sekuat malam malang kami semasa dilautan.
"Kita perlu kembali menjalani kehidupan primitif. Malam bergelap, makan apa sahaja yang ada di depan mata. Belajar hidup dengan alam," sambungnya lagi. Ya, kami seolah sudah putus asa untuk berharap. Namun kami tidaklah sampai putus asa dengan kehidupan sehingga lebih rela menamatkan riwayat hidup kami dengan singkat. Mungkin sebab kami berdua maka, kesunyian atau kesepian itu menghilang.
Kami punya gajet atau telefon juga sudah kehabisan bateri. Malahan usahanya untuk memperbaiki enjin boat juga gagal setelah tiada ilmu di dada.
Rumah boat cuba dibaiki namun ianya sukar kerana sangat usang. Akhirnya kami berganding bahu sama-sama untuk menjaga kawasan tersebut selagi kami mampu.
"Max, esok kita bersihkan belakang rumah ya. Aku lihat ada perlatan berkebun di dapur. Kita tanam apa yang boleh jadi bahan makanan kita," seruku dan menapak ke tengah rumah.
Rumah itu kosong hanya terdapat bangku tempat duduk di anjung sahaja. Barangan lain semuanya sudah usang dan mereput.
Max pemuda yang sesat bersamaku itu telah mengambil meja dan kerusi dari boat lalu diletakkan ke ruang depan. Dia menjadikan tempat tersebut sebagai tempat rehat kami.
Max seorang jejaka yang pendiam pada pertemuan pertama. Dia juga sering menundukkan pandangan bila bercakap.
Seminggu pertama di sini dia seakan perengus namun bila memasuki minggu ketiga, dia menjadi lebih penyabar. Aku juga cuba bertolak ansur dengannya dan berjanji untuk sama-sama membantu sehingga kami diselamatkan. Harapan kami tetap ada.

Jumaat, 6 September 2019

Bab 1 : Lie With Me


Baju labuh yang membalut tubuhnya di tarik lagi. Besar dan tersangat longgar. Hanya menutupi tubuhnya dari atas ke paras peha sahaja. Dia selesa berpakaian sebegitu.
Menunggu pakaiannya kering dengan cuaca yang mendung, entah bila akan mengering di ampaian.
Dia termenung di birai jendela. Melihat deburan ombak laut yang menghempas ke batu, kasar berpecah.
Dia melihat ke tengah laut. Nun sejauh mata memandang, hanya kebiruan yang dilihatnya. Di sebelah kiri ada juga sebuah pulau kecil dan di kanan juga terdapat pulau. Entah berpenghuni atau tidak. Adakah seperti tempat dia terdampar kini.
Rumah kayu bertiang tinggi ini tidak berpenghuni ketika dia tiba. Pokok kayu juga sudah berakar umbi di depan tangga. Malahan bahagian belakang rumah bersemak menyerlahkan lagi bahawa sudah lama rumah ini tidak dikunjungi.


Semenjak baik dari demam dia cuba menyelusuri setiap inci sudut rumah. Tiga bilik tidur yang usang dan katilnya juga sudah patah. Malahan setengah lantai juga ada yang mereput. Mujurlah bekalan air paip masih boleh diguna. Melihatkan pada saluran paip yang retak dan berlumut, ianya mungkin berpunca dari anak sungai atau mata air dari belakang rumah.
Ketika dapur di jengah, susunan kayu api penuh di bahagian para. Sebuah dapur kayu hampir roboh di sudut dapur. Tin-tin dan bekas makanan tersusun elok tetapi semuanya sudah kusam dan berkarat.
Pinggang mangkuk di almari juga banyak yang pecah. Mujurlah masih ada yang boleh digunakan.
Rumah ini memang sudah lama tidak berpenghuni malahan rumah bot di pengkalan depan juga sudah roboh.
Dia mengambil ranting kayu yang dijadikan penyapu, daun-daun kering di halaman di sapu.
Semenjak seminggu terdampar di situ, suasana juga sudah berubah. Malahan dia perasan ada taman yang cantik di bahagian sisi rumah. Peralatan berkebun yang berkarat, yang ditemui di belakang dapur di ambil dan di asah. Tidak sia-sia dia menjadi anak tani. Ilmu perkebunan yang dipelajari dari kecil dapat digunakan.
Dari jauh kelibat tubuh seseorang muncul dari tenggara rumah. Wajah itu nampak kelelahan dan di tangannya hanya terdapat setandan pisang hutan yang hampir ranum. Dia melambai-lambai dan melangkah kepenatan ke arah tangga rumah.
"Maaf, ini aje yang aku jumpa ," ujar jejaka tersebut sambil meletakkan setandan pisang hutan ke atas pelantar. Dia kemudian menyangkut punggungnya dan menanggalkan baju tshirt di badannya. Mengesat peluh dengan baju tersebut di belakangnya.
" Syukurlah. Sekurangnya boleh kita isi perut untuk hari ini," ujar si gadis lalu mengambil tandan pisang tersebut. Dia arif sangat pasal pisang hutan. Sudahlah buahnya kecil malahan dipenuhi biji yang banyak. Tetapi itulah rezeki yang mereka ada. Bekalan makanan yang ada sudah dua hari habis. Maklumlah roti hanya bertahan untuk beberapa hari sahaja. Itupun kulat yang tumbuh dibuang dan mereka masih menikmati roti tersebut hingga habis. Seminggu di sini mereka tidak lagi cerewet memilih makanan. Malahan ubi kayu yang di dapati dari kebun di belakang juga menjadi santapan.
"Cuaca nak hujan nampaknya. Harap ianya tak lebat," candanya sambil memotong buah pisang tersebut. Ianya dilonggokan ke atas pelantar.
"Rasanya rumah ni tak bocor. Bila aku baring pagi tadi tak nampak pula cahaya atau lubang kat bumbung," tambah jejaka pula. Dia menyeka peluh di dahi. Badanya yang tidak berbaju dan kelihatan berotot berkilat di panah mentari. Dia menanggalkan kasut di kaki. Setokin yang sudah lunyai di libas-libas ke kepala tangga.
"Aku nak mandi. Air kolah dah penuh ke ?" Dia melangkah masuk. Langkahnya yang panjang dan luas melintasi hadapan gadis yang masih memotong buah pisang dari tandannya.
Kepala gadis tersebut terteleng mengelak dari terkena kaki pemuda tersebut.
Sebentar kemudian dia membawa masuk pisang tersebut ke ruang dapur dan meneruskan kerjanya.

Bab 5 : Lie With Me

Pejam celik, pejam celik... aku memangkah lagi kelendar yang aku buat di sini. Aku menulis dibuku kecilku yang menjadi diari tersimpan d...